
Lembah Bujang merupakan sebuah kawasan tapak arkeologi yang sangat penting di Malaysia dan Asia Tenggara, terletak di daerah Kuala Muda, Kedah, berhampiran Gunung Jerai. Lembah Bujang dipercayai telah wujud sekitar abad ke-3 hingga abad ke-14 masihi dan menjadi pusat tamadun awal Melayu yang maju, khususnya dalam bidang perdagangan dan keagamaan.

Kedudukan Lembah Bujang dianggap sangat strategik kerana terletak berhampiran Selat Melaka, iaitu laluan perdagangan laut terpenting di dunia sejak zaman purba. Selat ini menghubungkan perdagangan antara Timur dan Barat, khususnya India, China, Asia Barat dan Kepulauan Melayu. Kapal-kapal dagang yang belayar dari India ke China akan singgah di kawasan ini untuk mendapatkan bekalan, berlindung daripada angin monsun serta menjalankan urusan perdagangan, menjadikan Lembah Bujang sebagai pelabuhan persinggahan yang penting pada zamannya.

Selain itu, peninggalan sejarah di Lembah Bujang amat bernilai kerana ia menjadi bukti fizikal kewujudan tamadun awal di Kedah sejak ribuan tahun lalu. Antara peninggalan yang paling ialah tapak-tapak candi, iaitu binaan keagamaan yang dipengaruhi ajaran Hindu dan Buddha. Candi-candi ini dibina menggunakan bahan seperti batu laterit, batu sungai dan bata tanah liat, menunjukkan masyarakat ketika itu memiliki pengetahuan tinggi dalam bidang seni bina dan kejuruteraan. Reka bentuk candi yang berbeza-beza juga membuktikan pembinaan dilakukan dalam tempoh masa yang panjang serta menerima pengaruh luar yang berbeza.

Banyak artifak arkeologi turut ditemui hasil kerja penggalian, termasuk arca dewa-dewi Hindu-Buddha, serpihan seramik dari China, manik kaca, loceng gangsa dan alat logam. Penemuan seramik China khususnya membuktikan hubungan perdagangan secara langsung antara Kedah Tua dengan tamadun besar dunia. Artifak-artifak ini memberi gambaran jelas tentang kepercayaan, kegiatan ekonomi serta gaya hidup masyarakat Lembah Bujang pada zaman tersebut.

Lembah Bujang merupakan bukti penting kewujudan tamadun awal di Malaysia yang berkembang hasil kedudukan strategiknya di laluan perdagangan antarabangsa. Peninggalan candi dan artifak yang ditemui membuktikan masyarakat Kedah Tua telah maju dalam bidang perdagangan, keagamaan dan hubungan luar sejak ribuan tahun lalu, sekali gus menjadikan Lembah Bujang warisan sejarah yang amat bernilai untuk negara dan Asia Tenggara
Lokasi:Sekitar Merbok, Sungai Petani & Kuala Muda.

