Tasik Pedu, yang sebelum ini dikenali sebagai Kolam Air Pedu, adalah sumber air utama yang dibina oleh kerajaan untuk menyimpan bekalan air bersih bagi penduduk negeri Kedah. Suasana di Tasik Pedu sangat cantik dan ramai yang memilih untuk menjalankan “photoshoot” di situ contohnya, pre wedding dan post wedding.
Air dari Sungai Pedu mengalir dari Bukit Pakir Terbang, yang terletak pada ketinggian 574 meter di atas aras laut, sebelum bertemu dengan Sungai Padang Terap. Kawasan hulu Sungai Pedu berada di sempadan dengan negara Thailand. Terletak dalam daerah Padang Terap, Tasik Pedu menawarkan pelbagai aktiviti air kepada pelancong, termasuk memancing, jet ski, dan menaiki bot.
Sebelum ini, Tasik Pedu mempunyai beberapa resort seperti Desa Utara Pedu Lake Resort (106 bilik) dan Mutiara Pedu Lake Golf & Lake Resort (dahulunya dikenali sebagai Holiday Inn Resort dengan 205 bilik, menawarkan aktiviti golf dan lain-lain). Namun, kedua-dua resort tersebut telah ditutup pada 1 dan 7 Januari 2007 disebabkan oleh penurunan perniagaan, terutamanya selepas berita mengenai penemuan kubur lama di tengah tasik semasa musim kemarau yang menimbulkan kebimbangan di kalangan pelancong dari Taiwan dan Singapura.
Walaupun chalet-chalet di tepi tasik menampilkan suasana yang indah, namun usaha perlu dilakukan untuk membangunkan semula chalet-chalet tersebut, termasuk perancangan dan pengurusan resort yang lebih efektif. Di kawasan Tasik Pedu juga terdapat Rumah Rehat bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir, yang terletak di tepi tasik dengan reka bentuk yang menarik dan tradisional.
Namun, kini semua chalet dan rumah rehat tersebut dibiarkan terbengkalai tanpa penghuni, mencerminkan satu lagi “mega projek” yang dibiarkan tidak terurus.
Tasik Pedu merupakan tasik tiruan yang terletak di Daerah Padang Terap, Kedah, Malaysia. Ia meliputi kawasan seluas 75 km².